Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di Marang kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 78 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu sesi kunjungan dilakukan daripada pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi mendapatkan pemakluman terkini mengenai status pembinaan.
Menurut beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa aspek penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga siap sepenuhnya.
"Projek ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan kerja-kerja utama seperti struktur bangunan, pemasangan bumbung, serta sistem perpaipan dan pendawaian elektrik hampir siap sepenuhnya," Wan Sukairi berkata demikian melalui hantaran Facebook rasminya semalam.
Sebagai rekod, projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 unit rumah dan terbahagi kepada dua jenis; jenis A sebanyak 133 unit dan jenis B sebanyak 65 unit.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam pernah menjelaskan punca atau isu yang mengakibatkan kelewatan bagi penyiapan projek perumahan tersebut.
Antara punca dan isu yang berlaku adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan yang membantutkan proses penyiapan.
Walau bagaimanapun, kemajuan pembinaan yang telah berjaya dicapai pada masa ini menandakan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat.
"Kerajaan negeri terus komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar, dengan pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pembinaan menepati standard yang ditetapkan," ujarnya.