• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri disaran untuk terus mempromosikan nilai-nilai syariah dalam usaha membangun industri pelancongan Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, dengan menerapkan prinsip-prinsip syariah dalam produk dan perkhidmatan pelancongan, kerajaan Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk melancong ke sini.

"Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Exco Pelancongan untuk terus kekal dengan negeri yang mendokong syariat atau mesra syariat untuk berusaha mempopular dan mempromosi 'Islamic tourism' bagi menarik pelancong Muslim dari negara China khususnya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambahnya, selain daripada sektor pertanian, Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dengan tumpuan kepada produk pelancongan alam semula jadi.

"Usaha mempromosi 'Islamic tourism' perlu diselaraskan dan diatur melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan di sana mungkin kita dapat mengambil manfaat daripada bajet Kementerian Pelancongan," katanya.

Sementara itu, fenomena 'moreh' semasa bulan Ramadan merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia perlu diangkat dalam memperhebatkan 'Islamic Tourism'.

"Banyak tempat dan lokasi khususnya di tempat peranginan menjadi lokasi moreh yang popular," katanya.

Justeru itu, belia mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menjadikan aktiviti sebegini sebagai satu daya tarikan pelancongan khususnya pada bulan Ramadan.


Tag: