• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PSUK Terengganu Berjaya Laksana Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan

KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK Terengganu) melalui khidmat rundingan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah berjaya melaksanakan Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSP PSUK) Terengganu dan agensi di bawahnya bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meletakkan harapan agar pelan ini dapat membantu pentadbiran Negeri Terengganu merencanakan pelbagai program pendigitalan yang bakal memberi impak dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri dan seterusnya mentransformasikan perkhidmatan awam Negeri Terengganu ke arah kerajaan digital.

Pembangunan pelan ini turut melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu dan tujuh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu.

Pembangunan pelan yang melibatkan sembilan agensi ini telah melalui tempoh selama 12 bulan bermula pada 15 Februari 2021 dan berakhir pada 13 Februari 2022 melalui sesi menandatangani Dokumen Sign Off oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.

Sesi menandatangani dokumen tersebut turut disaksikan oleh Ahmad Samsuri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyerahkan dokumen Pelan Strategik Pendigitalan kepada agensi-agensi yang terlibat sebagai simbolik penamatan projek.

"Pembangunan PSP ini dilaksanakan berdasarkan keperluan ekosistem pendigitalan yang merangkumi lima bidang utama iaitu Perkhidmatan, Aplikasi dan Data, Infrastruktur dan Keselamatan ICT, Tadbir urus Digital, Keupayaan Digital.

"Antara faedah dan impak pelaksanaan PSP adalah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih telus dan berintegiriti, kawalan dan pemantauan operasi yang lebih sistematik dan berkesan, pengurusan data dan maklumat pelanggan dengan tepat dan cekap serta perkongsian maklumat dengan agensi lain yang lebih berkesan," ujar beliau ketika berucap merasmikan program tersebut.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, pembangunan PSP ini memberi fokus kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan Kerajaan dengan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menjurus kepada perkhidmatan dalam talian end-to-end (E2E), perkongsian data, bayaran tanpa tunai dan kepelbagaian medium penyampaian perkhidmatan.

Beliau turut percaya pembangunan pelan ini mampu melonjakkan inisiatif pendigitalan PSUK Terengganu dan agensi di bawahnya, dan seterusnya sektor awam di samping menyumbang kepada peningkatan peratusan indikator bandar dan komuniti mampan demi kesejahteraan rakyat.


Tag: