• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pulau Redang, Perhentian Terima Bot Ambulans Baharu

KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perkhidmatan kesihatan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang kini bertambah baik dengan adanya dua bot ambulans baharu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dua bot ambulans membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta itu bagi menggantikan bot sedia ada yang sudah usang dan sering mengalami kerosakan.

"Perkhidmatan bot ambulans bukan sahaja diperlukan oleh orang tempatan, tetapi untuk memindahkan pelancong yang memerlukan rawatan di hospital.

"Dengan purata kekerapan bilangan pergerakan pergi dan balik bot ambulans sebanyak 10 hingga 20 kali sebulan, perkhidmatan pengangkutan yang cekap adalah sangat penting di kedua-dua pulau itu," katanya selepas Majlis Perasmian Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Jeti Duyong Marina di sini, semalam.

Lukanisman berkata saiz bot ambulans baharu itu juga lebih besar, selain boleh digunakan pada musim tengkujuh kerana mampu meredah ombak setinggi dua meter.

"Bot ambulans baharu itu mampu memuat 12 penumpang dan sesuai digunakan untuk musim tengkujuh.

"Bot ambulans ini dibina mengikut piawaian Jabatan Laut serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk alat penerima Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), radio VHF dan kompas magnetik," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, KKM  turut menimbang kemudahan bot ambulans di beberapa pulau di kawasan pedalaman Sabah.