• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Punca Matahari Berwarna Merah

KUALA TERENGGANU, 11 April - Pagi tadi telah berlaku sesuatu di luar kebiasaan apabila Matahari terbit memancarkan cahaya kemerahan yang dilihat tersangat indah.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu  Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata pada kebiasaan matahari tidak boleh dilihat secara langsung.

"Pada kebiasaanya kita akan cepat mengalihkan pandangan, tetapi pada kali ini cahaya berkurangan kerana telah ditebat oleh lapisan awan atau keadaan itu disebabkan oleh keadaan sekeliling menyebakan ia kelihatan sangat menarik.

"Matahari ini warnanya berubah disebabkan awan yang menjadi filter semula jadi dan lebih banyak warna merah diserakkan. Keadaan awan di Malaysia ini walaupun kita kata cuacanya baik sebenarnya ada awan nipis yang kita tidak nampak.

"Disebabkan itu ia bertukar menjadi warna merah, sebelum bertukar warna kuning kemudian beransur-ansur pulih seperti biasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, keadaan Matahari yang terbit dan terbenam sebenarnya terdedah kepada lapisan Atmosfera.

"Dalam jarak 157 juta kilometer akan memasuki Atmosfera Bumi semasa memasuki bumi cahaya itu akan 'berbaut' dengan beberapa lapisan udara dan ini yang membentuk warna kerana berlakunya pembiasa ufuk yang akan menjejaskan bentuk dan warna.

"Warna merah ini paling banyak diserakkan di tempat yang terkena ufuk jadi itu yang berlaku pagi tadi,"ujarnya.


Tag: