• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pusat Pakar Jantung Pertama Dibina Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 April - Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menubuhkan pusat pakar jantung di Terengganu bagi memenuhi keperluan kesihatan di luar ibu negara.

Usaha itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak dan menjadi fasiliti pertama di luar Kuala Lumpur sejak ditubuhkan 29 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mula bekerjasama peringkat awal dalam perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kardiovaskular serta toraks (rongga dada) di Hospital Pengajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

“Kita akan mulakan rawatan pesakit luar pakar terlebih dahulu, dan berkembang ke perkhidmatan lain seperti kardiovaskular dan toraks pediatrik.

"Pusat ini akan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pesakit di Pantai Timur manakala baru-baru ini banyak permintaan sama ada kami akan memberikan rawatan di luar Kuala Lumpur.

"Jadi, ini adalah langkah pertama untuk membawa perkhidmatan kami kepada orang ramai, malah kami akan melihat kemungkinan pembukaan pusat seperti itu di kawasan lain selepas ini," katanya sebagaimana dilapor Harian Metro..

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua institusi bagi memeterai kerjasama, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Ketua Pegawai Klinik IJN, Dr Hasri Samion dan Pengarah UniSZA, Hilmi Mohd Nashir.

Memorandum dua tahun itu menggariskan kepentingan menjalin kerjasama dalam perkhidmatan perubatan, kesihatan, kemudahan, latihan, penyelidikan dan perkhidmatan perubatan lain yang berkaitan di Terengganu.

Menurut Dr Hassan Basri, pembinaan hospital itu sudah siap 85 peratus dan dijangka dibuka tahun depan. - Sumber foto: Muhammad Muhairi Jasmani dan Ahmad Kamal Ramli