• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terima 270 Pelatih

KUALA TERENGGANU, 25 April - Pusat pemulihan dadah secara holistik di Perkampungan Darul Barakah (PDB), Marang telah menerima kemasukan pelatih seramai 270 pelatih mengikut fasa pengambilan bermula Jun 2021 sehingga sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 48 orang pelatih telah berjaya mengikuti sehingga ke akhir program pemulihan yang telah dilaksanakan.

"Kesemuanya meneruskan program 'aftercare', iaitu telah bekerja dengan masyarakat sekeliling untuk pembentukan ekonomi saradiri dan keluarga. 

"Antara pekerjaan yang diteruskan oleh pelatih yang berjaya ialah berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka, dalam bidang pertukangan rumah, perladangan ,pertanian dan pengimpalan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ghazali Sulaiman(PAS-Bukit Besi) yang ingin tahu berkenaan pusat pemulihan dadah secara holistik di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan berapakah bilangan peserta yang telah berjaya dipulihkan di Perkampungan Darul Barakah dan adakah terdapat cadangan penambahan tempat baharu bagi membina perkampungan’ oleh Kerajaan Negeri seperti Perkampungan Darul Barakah
dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menjawab tentang penambahan pusat baharu, Dr Muhammad Khalil berkata sehingga kini belum ada cadangan tempat baharu bagi perkampungan oleh Kerajaan Negeri.

"Untuk makluman, tanah PDB masih dalam proses penukaran pemilikan dan dalam proses pembayaran daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada Syankat Sri Miah," ujarnya.