Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Pelumba cilik sensasi negara, Qabil Irfan, bakal berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac ini bagi menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama Espana Superbike Championship (ESBK) 2025.
Kejohanan itu bakal menjadi satu lagi medan penting buat pelumba berusia 13 tahun berkenaan untuk mengasah kemahirannya di peringkat antarabangsa.
Qabil, yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Young Rider of The Year’ semasa MAM Award Night anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia, akan bersaing dalam kategori ‘ESBK Talent Cup’ menggunakan jentera NSF 250.
Ini merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya selepas menjuarai MiniGP World Championship 2023 dan memenangi perlumbaan ESBK Moto4 pada awal tahun ini.
Menerima kunjungan istimewa Qabil bersama ibu bapanya di Wisma Darul Iman baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan anak muda itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong dan membimbing atlet muda berbakat untuk mencapai kejayaan di peringkat global.
“Selamat berangkat ke Jerez, Sepanyol pada 11 Mac 2025 untuk menghadapi Ujian Pra-Musim dan Pusingan Pertama ESBK.
“Sesungguhnya, ramai lagi atlet muda berbakat yang perlu digilap agar potensi mereka tidak disia-siakan.
“Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong atlet sukan kelahiran Terengganu untuk terus berjaya dalam apa jua jenis sukan,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman sosial media rasminya baru-baru ini.
Qabil, yang sering mengunjungi Hishamuddin sebelum berlepas ke luar negara, menyatakan kesyukurannya atas sokongan berterusan yang diterima daripada pihak kerajaan negeri serta rakyat Malaysia.