• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ragbi Bawa Gadis Terengganu Ke Azerbaijan

KUALA TERENGGANU,5 November- Tiga pemain ragbi wanita Terengganu mencipta sensasi dalam perkembangan sukan ragbi tempatan apabila berjaya memecahkan dominasi pemilihan skuad wanita tujuh sepasukan kebangsaan (7s) setelah layak secara merit untuk menyarung jersi Bunga Raya 7s bagi siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Nur Alyia Nabila Samsubahari, 18 tahun, Aida Wardini Mohd Lazim (19 tahun) dan Siti Nursyamimi Tajudin (19 tahun) kini merupakan pemain ragbi wanita pertama kelahiran Terengganu layak untuk mewakili pasukan ragbi wanita kebangsaan bagi menyertai perlawanan-perlawanan antarabangsa.

Malah ketiga-tiga mereka juga merupakan pemain skuad SUKMA 2022 yang telah muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan 2022,di Ipoh pada Julai lalu.

Menurut Yang DiPertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Mohamad, perkembangan ini memberi satu penanda aras baru bagi program pembangunan ragbi yang telah dilaksanakan khususnya melibatkan pemain-pemain ragbi wanita dari negeri ini.

“Program pembangunan ragbi wanita dari peringkat akar umbi telah bermula secara agresif sejak SUKMA 2018 melabuhkan tirai yang mana kita memberi fokus sepenuhnya penglibatan anak jati negeri ini bermula dari bangku sekolah lagi.

“Sehingga kini sebanyak tujuh sekolah dalam negeri Terengganu menjalankan program pembangunan ragbi wanita dan dua darinya  turut mendapat perhatian Program Pembangunan Ragbi Malaysia(NRDP), satu inisiatif oleh Majlis Sukan Negara(MSN) bersama Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) sejak 2016.

“Kejayaan ini bukan hanya untuk mereka, tetapi sekaligus menjadi penanda aras terbaik buat jurulatih-jurulatih tempatan yang terdiri daripada guru-guru sekolah dari luar bandar dalam menghasilkan pemain-pemain berkualiti setanding negeri-negeri lain yang mempunyai program pembangunan lebih bagus dari kita," katanya.

Beliau berharap, pencapaian ketiga-tiga pemain ragbi wanita itu dapat dijadikan contoh terbaik buat bakat-bakat muda ragbi wanita di Terengganu untuk  membuktikan yang mereka juga setanding seperti yang lain.

Buat ketua jurulatih ragbi wanita Terengganu, Asaari Abdullah pula, perkembangan tersebut melahirkan rasa bangga dan syukur setelah anak didiknya layak secara merit untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Rata-rata pemain ragbi wanita negeri ini adalah mereka yang bersekolah di kawasan luar bandar dan sering berasa kurang keyakinan diri untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa. Namun, kini mereka menjadi contoh terbaik untuk membakar semangat buat generasi - generasi seterusnya di sini.

“Kredit juga harus diberikan kepada jurulatih di sekolah masing-masing yang bersungguh-sungguh mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan," katanya.

Tambahnya, usaha berkenaan bukan mudah buat mereka dari sekolah luar bandar kerana pendedahan sukan ragbi tidak seperti di negeri-negeri pantai barat yang sering mendapat tumpuan.

Skuad Bunga Raya 7s Wanita U20 akan berentap bersama-sama pasukan tuan rumah, United Arab Emirates(UAE), India dan Thailand bagi memburu kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20.


Tag: