• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Rebut Peluang Biasiswa RM3.1 Juta Ditawar TATIUC Terengganu


KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya anak Terengganu dipelawa memohon biasiswa berjumlah RM3.1 juta menerusi Biasiswa Terengganu Sejahtera yang ditawarkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti TATI (TATIUC) sepanjang tahun ini.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, TATIUC membuka peluang kepada mana-mana pelajar yang memenuhi syarat untuk menyambung pengajian di peringkat asasi, diploma dan ijazah bagi sesi Februari, Mei, Julai dan September setiap tahun.

“Sehingga kini, seramai 419 pelajar bagi kemasukan Mei dan Julai telah mendapat manfaat menerusi biasiswa yang dilancarkan April lalu.

“Insya-Allah jumlah penerimanya terus meningkat dengan kemasukan pelajar baharu pada bulan September nanti,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Bersama Media Terengganu di Pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Katanya, pemberian Biasiswa Terengganu Sejahtera diharapmenjadi rangsangan untuk anak negeri ini melanjutkan pengajian ke TATIUC yang menyediakan kursus-kursus teknikal yang memenuhi permintaan industri dan pasaran kerja.

Menurut beliau, menerusi biasiswa itu semua pelajar yang mengikuti program asasi berpeluang menikmati manfaat biasiswa penuh berjumlah RM3,230 sepanjang pengajian.

“Manakala, bantuan sara hidup sebanyak RM800 setiap semester akan turut diberikan kepada pelajar diploma manakala bagi ijazah pula RM1,000 setiap semester,” ujarnya.
Katanya, mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di http://www.tatiuc.edu.my/eCampus.htmldan untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi 09-8601130/1020/1147 atau whatsApp 017-9798257.

Tag: