• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Resepi Kejayaan SUKMA 2018

Ketua Kontinjen Terengganu, Haji Samiun (tengah), Datuk Tengku Farok Hussin (kiri) dan Haji Ibni Amin (kanan) tonggak kejayaan Sukma XIX 

KUALA TERENGGANU – Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Terengganu, Haji Samiun Salleh mendedahkan ‘resepi’ kejayaan pasukan Terengganu  adalah kerjasama.

Menurutnya, semangat kerjasama berpasukan melibatkan semua pihak daripada kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sehinggalah kepada atlet dan petugasnya.

“Kejayaan SUKMA kali ke-19 ini, adalah kerjasama semua pihak termasuk pelantikan bapa-bapa angkat dari kalangan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan, yang telah menyantuni pemain-pemain dan atlet-atlet.

“Begitu juga jurulatih-jurulatih yang memberi semangat serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

“Dengan kerjasama semua pihak akhirnya kita (Terengganu) berjaya. Hampir setiap malam pada jam 11.00 malam, kita akan mengatur strategi untuk kita capai bagi setiap event,” ujarnya kepada wartawan Teganukita, di sini, 8 Oktober.
Menurut Samiun lagi, dalam tempoh masa dua minggu penganjuran SUKMA edisi ke-19 di Perak itu, kontinjen Terengganu bekerja keras bagi mencapai sasaran kemenangan dengan mengatur pelbagai strategi dan saling memberi sokongan moral tidak berbelah bahagi antara satu sama lain.

CDM Sukma XIX Terengganu, Haji Samiun Salleh
Katanya, Terengganu bukan sahaja berjaya melepasi sasaran emas malah menambah bonus kemenangan tersebut.

“Dalam masa dua minggu itu memanglah kita (pasukan) bekerja keras untuk memastikan kerana visi dan misi kita, ialah dengan sasaran 53 emas.

“Alhamdulillah, kita (Terengganu) telah mencapai ‘target’ 53 emas dan dianugerahkan bonus lagi kepada 56 emas yang dicapai, 51 perak dan 53 gangsa.

“Saya amat merasa bangga dan puas hati atas kejayaan SUKMA edisi ke-19 ini, yang berjaya buat kali kelima bergelar juara SUKMA.

“Kita pernah (jadi) juara (SUKMA) pada tahun 2008, 2010, 2011 dan 2012 sebelum ini. Tahun (2018) ini, buat kali kelima (rekod) kita jadi juara Sukma ke-19,” jelasnya selaku Chief de Misson (CDM) SUKMA Terengganu.

Selain beliau, katanya dibantu oleh dua orang individu yang mantap iaitu Timbalan CDM, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Ibni Amin Busu.

“Kejayaan 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa inilah yang kita hadiahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar .

“Juga sokongan, dorongan semangat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan timbalannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim,” ujarnya.  

Antara faktor kejayaan lain, kata Samiun apabila, kerajaan negeri melantik CDM dan Timbalan CDM dua tahun awal sebelum SUKMA XIX berlangsung.

“Pelantikan CDM dan Timbalan CDM dari awal kita boleh menyantuni pemain, pasukan dan jurulatih sepanjang masa latihan dari Besut hingga ke Kemaman,” jelasnya.

Difahamkan, kekuatan kontinjen Terengganu pada SUKMA ke-19 ini seramai 832 orang yang terdiri dari 542 atlet lelaki dan wanita, 133 orang jurulatih, 46 pegawai tambahan, 38 pengurus dan 73 orang urusetia.

Sebanyak 427 acara daripada 29 jenis sukan dipertandingkan pada SUKMA 2018 ini dan Terengganu menyertai kesemua 29 jenis sukan melalui 364 acara.


Tag: