KUALA NERUS, 1 Januari – Ribuan anak muda membanjiri Stadium Tertutup Gong Badak sempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2026 menerusi Program Malam Munajat Terengganu 'Ramadan Yang Dirindui' anjuran Kerajaan Negeri, mencerminkan pendekatan sambutan berteraskan pengisian rohani dan nilai keagamaan.
Sejak jam 7 malam, stadium berkenaan dipenuhi masyarakat pelbagai lapisan, khususnya golongan pemuda dan pemudi, selain disertai kanak-kanak yang hadir bersama keluarga bagi memeriahkan suasana program.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan. Program kemudiannya diteruskan dengan Kuliah Khas Maghrib bertemakan "Menghidupkan Jiwa dengan Al-Quran" yang disampaikan oleh Ustaz Muzaihari Kamal Mustapa Kamal, sebelum hadirin dihayati dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Aiman Ridhwan.
Seusai solat Isyak, hadirin bersama-sama menunaikan solat hajat serta doa sempena tahun baharu yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Raqim, sebagai simbol pengharapan dan penyerahan diri kepada Allah SWT dalam menghadapi tahun mendatang.

Acara yang paling dinantikan ialah Slot Bicara Murabbi "Indahnya Hidup Bersyariat" yang menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) bersama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang. Slot berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah.
Suasana bicara berlangsung penuh ceria dengan sisipan gurauan santai sebelum diteruskan dengan sesi kupasan isu-isu agama serta persoalan berkaitan realiti dan cabaran semasa yang menarik perhatian hadirin.
Kemuncak sambutan menyaksikan Amanat Tahun Baharu disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa dan nasyid Asmaul Husna.