• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

RM109.75 Juta Peruntukan Luar Bandar Negeri Terengganu

Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) semasa sesi taklimat sempena kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Persekutuan meluluskan sebanyak RM109.75 juta untuk pembangunan kawasan luar bandar di Terengganu di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebanyak 10 projek baharu dan 39 projek sambungan akan dilaksanakan tahun ini membabitkan pembinaan infrastruktur dan pembangunan masyarakat.

Katanya, antara yang turut diluluskan adalah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun dan peruntukan baik pulih MRSM Imtiaz.

Bual mesra antara Dr Ahmad Samsuri (kanan) dan Datuk Seri Rina sempena kunjungan hormat menteri itu ke Pejabat Menteri Besar hari ini.
“Perbincangan yang diadakan khusus berkaitan pembangunan luar bandar, bukan saja infra, tetapi juga membangunkan masyarakat luar bandar daripada segi sosio ekonomi, keusahawanan dan modal insan.

“Malah, antara yang akan diberi perhatian kementerian adalah berkaitan bekalan air untuk kawasan luar bandar,” katanya.

Datuk Seri Rina
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Imam, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau menyambut positif peruntukan bagi projek pembangunan yang diluluskan tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membuat permohonan baharu bagi tahun 2020 dan mengharapkan pertimbangan daripada kementerian.

Beliau berkata, permohonan bagi 2020 merangkumi projek jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, program ameniti sosial dan bekalan air luar bandar.

“Kerajaan negeri akan mengambil apa jua langkah supaya ia dapat dilaksanakan dengan efisyen dan akan memberi pertolongan semaksimum mungkin kepada kementerian serta agensi terbabit.

“Kita juga berharap permohonan akan datang diperhalusi dan dipertimbangkan,” katanya.

Tag: