KUALA NERUS, 7 Februari - Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga merupakan Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu, Dato' Rosli Latif dilantik sebagai Ketua Kontinjen Pasukan Terengganu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 di Selangor pada 15 sehingga 24 Ogos ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Jusman Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen 1 (DCDM1) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Nor pula memgang tampuk DCDM2 bagi membantu kelancaran pengurusan pasukan di Selangor nanti.
Watikah pelantikan itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis di Ar-Riyadah Residence, baru-baru ini.
Menurut Dr Samsuri, kepercayaan diletakkan kepada mereka bertiga dalam menguruskan pasukan sepanjang temasya dilangsungkan.
"Ini bukan mengenai gagah atau tidak, ia mengenai strategi, 'psy war' yang perlu dibuat ke atas lawan kita untuk melaksanakan KPI yang ditetapkan," katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 35 bapa angkat terdiri daripada ADUN-ADUN dan 35 jabatan angkat turut dilantik bagi setiap sukan disertai kontinjen Terengganu.
Pelantikan ketua kontinjen, timbalan, bapa-bapa angkat serta jabatan angkat dilihat sebagai langkah proaktif Terengganu dalam memastikan kelancaran pengurusan pasukan yang bertanding.
Disamping itu, ia turut membantu tumpuan atlet dan jurulatih kepada peningkatan prestasi tanpa dibebani isu-isu teknikal.