• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Safawi Rasid Sekeluarga Ceriakan Golongan Kurang Mampu


Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 Mei - Sebagai merebut peluang meraih pahala berganda di bulan Ramadan ini, penyerang bola sepak kebangsaan yang juga anak jati Dungun, Safawi Rasid, 22  menceriakan golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Kampung Rantau Abang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif Safawi sekeluarga sesuatu yang sangat bermakna dan wajar dipuji serta patut dicontohi lebih ramai masyarakat yang berkemampuan terutama pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas kesudian Safawi dan keluarga yang berbesar hati menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik yang terpilih kali ini.

"Mereka yang terpilih adalah seramai 20 orang yang terdiri daripada warga miskin, ibu tunggal dan anak yatim yang tinggal  di sekitar Kampung Rantau Abang," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmi dan menyampaikan sumbangan tersebut sempena Majlis Khatam al-Quran di Pusat Ngaji Santai, Kampung Rantau Abang.



Sementara itu, pusat mengaji al-Quran yang dibuka sejak 2017 dikendalikan oleh ibu Safawi, Selemeh Abu Bakar, 56, manakala kos menyediakan prasarana dibiayai oleh pemain bola sepak Johor Darul Takzim itu.

Menurut kakaknya, Nur Shuhada Rasid, 26, pusat itu pada asalnya adalah rumah arwah datuknya yang dibaik pulih oleh Safawi untuk tujuan menjadikan tempat membaca al-Quran untuk kemudahan masyarakat sekitar.

"Pusat mengaji itu memberi kemudahan kepada masyarakat setempat belajar ilmu pembacaan al-Quran tanpa perlu menghantar anak-anak lebih jauh sehingga ke Bandar Dungun untuk tujuan itu.

"Kami mengambil inisiatif menjadi rumah tinggalan datuk ini sebagai tempat mengaji untuk kanak-kanak dan dewasa," katanya ketika dihubungi media Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.


Tag: