• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Salur Maklumat Kesalahan Maksiat Kepada Pihak Berkuasa

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kesalahan jenayah syariah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu sangat digalakkan dan merupakan jalan terbaik untuk membendung kemungkaran.

"Mencegah kemungkaran merupakan suatu yang sukar oleh kerana itu menjadi kewajipan semua pihak untuk saling peka dan menyampaikan maklumat kepada penguatkuasa syariah yang telah dilantik.

"Di peringkat kampung, imam boleh mainkan peranan untuk melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan syariah supaya boleh menjaga kampung masing-masing semua kena mainkan peranan untuk saling tegur menegur.

"Jangan hanya ambil gambar kemudian menularkan di media tanpa sebarang maklumat lanjut, ini boleh menimbulkan suasana tidak harmoni," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengulunggan, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambah Satiful, pihak kerajaan negeri bercadang untuk meluaskan Kempen Pembudayaan Syariah yang telah dimulakan di Seberang Takir ke setiap daerah.

"Bagi memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa pelaksanaan sayariah ini merupakan satu ibadah dan bukan sebagai hukuman ataupun denda semata-mata agar menjamin kesejahteraan hidup setiap muslim di Terengganu ini," katanya.