• 10 Nov 2024 | 08 Jamadil Awal 1446

SAR Cari Remaja Dikhuatiri Lemas Masuk Hari Ketiga

HULU TERENGGANU, 4 Jun - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki melayu yang dikhuatiri lemas memasuki hari ketiga diteruskan pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata operasi SAR berkenaan digerakkan dengan kekuatan 77 anggota dan pegawai polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam bagi mengesan remaja terbabit.

Katanya, operasi yang memasuki hari ketiga hari ini menumpukan kawasan berlubuk berkedalaman lebih lima meter dan dipercayai lokasi mangsa berada.

"Selain menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, kami juga menggunakan tiga jentera berat untuk menarik timbunan buluh hanyut  di kawasan berkenaan" katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Hasmerra, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa tersangkut pada tunggul kayu dan rimbunan buluh berdasarkan penggunaan kaedah anjing pengesan sejak semalam.

Sementara itu, dalam kejadian sekitar jam 4.00 petang Jumaat lalu, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Dusun.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dipercayai dihanyutkan arus deras ketika sedang berenang menyeberangi sungai tersebut bersama seorang rakan.