• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sasar 100,000 Pelancong Ke Terengganu Hasil Joyful Malaysia


Tuan Ahmad Faisal menunjukan poster promosi Joyful Malaysia @ KLIA & KLIA2, sepanjang Oktober ini. Foto oleh: Tg Syamim Tg Ismail
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menyasarkan kira-kira 100,000 pelancong tempatan dan luar negara ke Terengganu hasil promosi Joyful Malaysia @ KLIA & KLIA 2, sepanjang Oktober ini.

Acara itu akan diadakan mulai Jumaat hingga Ahad setiap minggu iaitu 6 hingga 8 Oktober, 13 hingga 15 Oktober, 20 hingga 22 Oktober dan 27 hingga 29 Oktober.


Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Razak, berkata program kolaborasi kerajaan negeri dengan Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  bertujuan memperkenal serta mempromosikan produk serta destinasi pelancongan tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA 2.

"FAMA melalui premis Agrobazaar di lot kedai KLIA 2 akan memberi kerjasama mempromosikan produk daripada 15 usahawan tempatan.

"MAB pula menyediakan pentas utama dan ruang legar di KLIA dan KLIA 2, selain tayangan iklan secara percuma di layar skrin di terminal serta media," katanya pada sidang media, di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, pemilihan KLIA dan KLIA 2 sebagai lokasi program adalah bertepatan berikutan terminal penerbangan itu menjadi pintu masuk utama pelancong ke Malaysia dan berupaya mengendalikan sehingga 25 juta penumpang setahun.

"Ia dapat menyampaikan secara terus kepada masyarakat dan pelancong luar maklumat sebenar mengenai prasarana, perkhidmatan dan pembangunan industri pelancongan di negeri ini, sekali gus menjadikan mereka tertarik untuk mengunjungi Terengganu," katanya.



Tag: