• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Sasar 841 Ribu Penduduk Terima  Vaksin Dalam Tempoh Enam Bulan

SETIU, 5 Jun - Terengganu kini menyasarkan dapat mencapai  80 peratus imuniti kelompok pemberian vaksin dalam tempoh enam bulan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata dijangkakan seramai 841,000 penduduk di Terengganu  akan lengkap divaksin pada ketika itu.

Katanya, sasaran tersebut berdasarkan lima strategi yang dirangka bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang sedang dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. 

"Kita sasar 193,340 individu menerima vaksin dalam tempoh sebulan sekiranya penerimaan vaksin mengikut jadual dan melalui tambahan lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang telah beroperasi sejak 1 Jun lalu. 

"Pada April hingga Mei, 3,808 individu menerima suntikan setiap hari dan jumlah itu meningkat kepada 5,380 individu setiap hari berikutan penambahan PPV menjadikan jumlah keseluruhan ialah 13 PPV beroperasi ketika ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program bantuan (outreach) imunisasi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, di sini, hari ini.

Tambahnya, selain meningkatkan jangkauan (outreach) pemberian vaksin di kawasan pedalaman, pihak kesihatan turut bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (GP) di negeri ini bagi melancarkan proses pemberian vaksin. 

"GP juga ada membuat PPV sendiri dan akan menyediakan khidmat suntikan vaksin kepada pesakit mereka. Setakat ini sebanyak 12 GP yang menyatakan kesediaan untuk menjadi pusat vaksin (PVGP)," katanya. 

Nor Azimi juga berkata, satu kolaborasi turut diadakan bersama bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menubuhkan sebuah PPV yang mampu memberi suntikan kepada 1,500 individu hingga maksimum 3,000 individu setiap hari.

Selain katanya, JKNT turut merancang untuk mewujudkan PPV di masjid terpilih di setiap daerah untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin ini kepada rakyat Terengganu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sambutan terhadap proses vaksinasi di negeri itu memberangsangkan dimana kini berlaku lonjakan kepada 40 peratus individu yang mendaftar untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera berbanding hanya 20 peratus yang direkodkan sebelum ini. 

 

 


 


Tag: