• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sekolah K9 Kini Mula Beroperasi di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) mula  beroperasi di Terengganu pada sesi persekolahan tahun ini bagi menangani masalah keciciran pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman.

Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata dua sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di Kemaman.

Katanya, menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga

"Maksudnya murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama.

"Seramai 15 daripada 16 orang murid di SK Sungai Berua yang telah mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu (Transisi) di sekolah K9 tersebut.

"Bagi SK Sungai Pergam pula kita ada seramai lima pelajar daripada tujuh pelajar dimana dua daripadanya telah ke Pusat Intelek Pelajar Orang Asli di Rompin (PIPOA)," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, seramai empat guru telah ditempatkan di SK Sungai Berua iaitu empat bagi pengajaran  aliran menengah dan 11 guru lagi  bagi matapelajaran aliran  rendah .

"Untuk SK Sungai Pergam pula terdapat seramai empat guru bagi pelajar peringkat menengah dan 12 untuk sekolah rendah," katanya.

Beliau menjelaskan, disebabkan kemiskinan dan jarak yang jauh, ramai murid yang tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah.

Justeru itu katanya, KPM mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama.

Secara keseluruhan terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara dengan 10 buah daripadanya mula beroperasi pada Ahad lalu.