• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Sekolah Pondok Ditambah Baik, Serap Bidang Kemahiran



HULU TERENGGANU, 25 April- Sistem pembelajaran 138 sekolah pondok di Terengganu akan ditambah baik dengan menjadikan pelbagai bidang kemahiran sebagai mata pelajaran tambahan.

Perkara itu akan diusahakan dengan mengguna pakai tenaga pengajar dari mana-mana institusi kemahiran termasuk Terengganu Timber Industry Training Center (TTITC).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata pihaknya akan meneliti sebaik mungkin inisiatif  itu dengan sekolah pondok di setiap Parlimen akan diserapkan bidang kemahiran berlainan.


Katanya, sebagai contoh, sekolah pondok di Hulu Terengganu bermungkinan akan mengutamakan kemahiran perkayuan.

"Manakala Kemaman akan memfokuskan bidang kimpalan, Dungun pula berkaitan pembaikian penghawa dingin atau alatan elektrik lain.

"Seterusnya lain-lain parlimen boleh memilih bidang jahitan, masakan dan sebagainya, "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Pertama TTITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC, Muhyiddin Abdul Rashid.

Majlis itu meraikan seramai 103 pelajar diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Pelajar SKM bidang pengukiran kayu, Muhammad Afiq Yusaini dianugerahkan  pelajar cemerlang tangan emas dan layak membawa pulang wang tunai RM1,000.

Satiful turut memberitahu, pendekatan menambah baik modul pembelajaran di sekolah pondok adalah wajar.

"Alasannya pelajar bukan sahaja mampu menguasai al- Quran dan akademik semata- mata malah boleh menguasai bidang kemahiran.

"Apabila tamat pembelajaran kelak, mereka boleh menentukan hala tuju diri sama ada mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, bekerja di mana- mana syarikat milik kerajaan atau swasta dan boleh juga menceburi bidang usahawan, " katanya.

Tag: