• 24 Jun 2024 | 17 Zulhijah 1445

Sembilan Bapa Dipenjara Gagal Bayar Nafkah Anak

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Statistik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menyatakan, sembilan lelaki dipenjarakan dari 2012 hingga 2019 kerana mengingkari perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak-anak mereka.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, mereka yang ingkar itu telah menjalani hukuman penjara paling minima tujuh hari dan maksima selama 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Katanya, mahkamah syariah tidak memandang ringan terhadap kesalahan tersebut dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.

“Masih ramai yang culas membayar nafkah ditambah keadaan semasa suami itu yang tidak mampu membayar sebagimana yang diperintahkan.

Walau bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak tersebut dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2023.

Majlis perasmian penyampaian bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima itu telah disempurnakan oleh yang Dipertua, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, hari ini.

Wan Mohd Zakri berkata, antara tindakan yang dikenakan kepada mereka yang culas membayar nafkah anak termasuk arahan pemotongan gaji bagi bapa yang bekerja dan kegagalan meeka melakukan pembayaran nafkah juga boleh dipenjarakan.

“Namun ada juga gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah,” ujarnya.

Menurut beliau, tujuan Dana Pendahuluan Nafkah Anak diberikan bagi meringankan beban bekas isteri kerana keculasan pihak bekas suami membayar nafkah yang telah diperintahkan.

“Jadi bagi meringankan beban ibu-ibu yang menjaga anak ini maka kami mengagihkan awal sebagai pendahuluan dan duit ini kami menerimanya daripada sumbangan pihak MAIDAM dan penerima-penerima ini telah dipilih berdasarkan kategori-kategori yang telah ditetapkan.

“Sebenarnya dalam BSK Mahkamah Syariah kita ada dua jenis dana iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak dan satu lagi Dana Pendahuluan Nafkah Anak, Dana Pendahuluan Nafkah Anak yang dikatakan duit daripada sumbangan MAIDAM itu, mereka (bekas suami) tidak perlu lagi membayar balik.

“Berbeza dengan Dana Pendahuluan Nafkah Anak, suami sebaliknya perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi Dana Bantuan Nafkah Anak.

Bagaimanapun katanya, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka (bekas isteri) masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.