• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Semoga Peratusan Keluar Mengundi Melebihi Jangkaan'

BESUT, 12 Ogos- Calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berharap peratusan keluar mengundi bagi DUN berkenaan melepasi jangkaan.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, peratusan keluar mengundi bagi DUN Kota Putera mencecah 83 peratus.

"Alhamdulillah, selesai tanggungjawab saya dan isteri sebagai rakyat Terengganu dan sebagai rakyat Malaysia dalam mengangkat proses demokrasi.

"Kita lihat pagi ini ramai anak-anak muda dan perantau pulang ke kampung yang hadir ke pusat pembuangan undi (PPU) seawal jam 8.00 pagi.

"Jadi, saya mengharapkan kita dapat peratusan keluar mengundi pada jumlah sama atau lebih lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuang undi di PPU Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, hari ini.

Beliau yang hadir sekitar jam 9.30 pagi bersama isteri, Radzilah Abdul Razak membuang undi di saluran dua.

Tinjauan di lokasi berkenaan memperlihatkan suasana tenang sejak ia dibuka pada jam 8.00, namun tidak putus-putus menerima kehadiran pengundi.

Berdasarkan dapatan semasa daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga jam 9.00 pagi, sebanyak 10 peratus rakyat keluar mengundi bagi seluruh negeri Terengganu.

 


Tag: