• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Semua Guru Bertindak Sebagai Guru Disiplin



Ahmad Razif mencanting batik sebagai simbolik merasmikan Simposium Psikologi Kaunseling Kebangsaan 2017 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Kementerian Pendidikan meminta semua guru supaya bertindak sebagai guru disiplin dan tidak menyembunyi sebarang insiden yang berlaku di sekolah daripada pengetahuan kementerian dan pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, konsep semua guru adalah guru disiplin dan mewujudkan sekolah penyayang menjadi asas utama bagi mengurangkan masalah disiplin dan salah laku di kalangan pelajar.

"Kita tidak boleh memberikan tanggungjawab kepada seorang guru disiplin sahaja. Oleh itu, kita mengambil pendekatan supaya semua guru bertindak sebagai guru disiplin.

"Namun, guru tidak perlu terlalu memberi fokus kepada tindakan disiplin atau mengenakan hukuman kepada pelajar bermasalah, sebaliknya mereka perlu menggunakan konsep mendekati dan bermesra dengan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Simposium Psikologi Kaunseling Kebangsaan 2017 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.

Sin Woon berkata, sehubungan itu juga kementerian akan menempatkan lebih ramai guru kaunseling profesional di sekolah bagi menangani pelbagai isu dan masalah pelajar pada masa kini.

Katanya, kecenderungan pelajar untuk mencuba sesuatu yang baharu berpunca daripada akses yang tiada batas di laman sosial, selain didorong oleh kurangnya pendekatan guru kaunseling profesional kepada golongan itu.


"Kita mahu supaya di setiap sekolah mempunyai kaunselor profesional khusus untuk membantu pelajar yang bermasalah..ini kerana kita tidak mahu pelajar terbabit menerima hukuman yang berat dan dikeluarkan dari sekolah.

"Kementerian juga mahu semua pelajar memperolehi akses pendidikan yang sama, cuma mereka perlukan kaunseling yang lebih untuk memastikan disiplin mereka lebih baik dan semua guru perlu meneliti aktiviti atau permainan yang boleh dilakukan oleh pelajar secara serius ketika berada di sekolah," katanya.



Tag: