• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sertai Perayaan Keagamaan Bukan Islam Haram - Mufti Terengganu

Dato' Dr Zulkifly Muda.
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 14 Mac 2019 menyatakan bahawa amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam yang melibatkan akidah atau iktikad adalah haram hukumnya.

"Perbuatan tersebut dianggap seperti mengiktiraf agama selain daripada agama Islam dan seolah-olah semua agama adalah sama.

"Oleh itu, diharamkan bagi orang Islam meraikan atau menyambut hari perayaan orang bukan Islam dengan apa jua cara sekali pun kerana ia merupakan syiar mereka," jelas fatwa tersebut.

Menyentuh persoalan tersebut, Mufti Negeri, Dato' Dr Zulkifly Muda berkata, yang uniknya di Malaysia ini adalah ada perayaan yang tidak membabitkan akidah dan agama seperti perayaan Tahun Baru Cina dan sebagainya.

"Maka itu tidak termasuk dalam fatwa ini," jelasnya.

"Apabila diwartakan, maka dikehendaki ianya dipatuhi oleh semua pihak sebab sudah menjadi undang-undang.

"Tetapi setakat ini tidak ada keperluan (untuk diwartakan), yang pentingnya kita beri penjelasan dan kefahaman dahulu kepada masyarakat," ujar beliau.

Dato' Dr Zulkifly berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Diskusi Fatwa : Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), di sini hari ini.


Tag: