• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

SG4 Cari Jalan Perhebatkan Pelancongan

KEMAMAN, 5 November - Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah berbincang bagi mencari jalan efektif untuk memperhebatkan pelancongan di negeri State Goverment 4 (SG4).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu menjadi topik perbincangan ketika perjumpaan kali pertama diadakan membabitkan keempat-empat Exco Pelancongan negeri berkenaan.

"Kita telah mengadakan perjumpaan itu pada bulan lepas di Tasik Kenyir selama dua hari satu malam dan telah berbincang perkara patut dilakukan, antaranya silang budaya.

"Juga membuat pengiklanan untuk fasa pertama ini, dengan keempat-empat saling mempromosikan kehebatan, keindahan dan keunikan yang ada di negeri masing-masing.

"Seperti Terengganu kaya dengan alam semula jadi, memiliki pulau, tasik, ada pantai yang cantik serta memiliki 'geopark' yang sangat hebat akan dipromosikan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika mengadakan lawatan kerja di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, di sini hari ini.

Razali berkata, pihaknya optimis akan mencapai hasil yang positif dalam memajukan sektor pelancongan di empat buah negeri ini.

"Melalui fasa pertama ini kita minta semua pengarah berbincang dan kita nampak (usaha ini) agak berjaya kerana pgawai-pegawai telah mula berbincang.

"Selepas lima tahun kita akan melihat apa kemajuan yang kita dapat untuk pergi ke peringkat seterusnya," katanya.