• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

‘Shopping Raya’ Ceriakan 120 Anak Yatim, Asnaf Sambut Aidilfitri

KUALA NERUS, 25 Mac - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi 120 anak yatim dan golongan asnaf apabila dibawa Pusat Khidmat Masyarakat Dun Seberang Takir untuk membeli kelengkapan raya di KTCC Mall.

Kesemua mereka berusia diantara 6 hingga 14 tahun itu diberi peluang untuk memilih baju sambil ditemani pengiring yang juga penjaga masing-masing

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat yang diwakili isterinya, Nik Aini Nik Soh berkata, program ‘Shopping Raya’ yang diadakan itu adalah bagi memberi keceriaan dan kegembiraan kepada mereka yang terpilih untuk menyambut Aidilfitri selepas anak-anak kita kembali ke sekolah baru-baru ini

“Ibu-bapa yang baru sahaja menghantar anak ke sekolah baru-baru ini pastinya sedikit terkesan dengan kehadiran Aildilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

“Sudah pasti, kita mahu anak-anak ini merasai suasana di mana sebelum ini mereka mungkin sukar mendapatkan kelengkapan ataupun keperluan raya di rumah. 

“Mungkin sumbangan ini tidak seberapa tetapi sedikit sebanyak dapat menampung serta meringankan beban penjaga,” katanya ketika ditemui pada program itu disini , semalam.

Salah seorang penerima, Izzati Zainuddin, 34, berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga beliau menerima sumbangan ini.

"Terima kasih kepada penganjur kerana memilih anak saya sebagai penerima sumbangan, syukur sangat kerana boleh membantu persiapan hari raya tidak lama lagi.

"Kalau tiada sumbangan ini mungkin susahlah sedikit kerana baju tahun lepas sudah tidak boleh dipakai," katanya.

 Seorang lagi ibu tunggal, Wan Halimatun, 53, memaklumkan dengan empat orang anaknya masih bersekolah semestinya sukar untuk memenuhi keperluan Aidilfitri tahun ini.

"Kejadian banjir baru-baru ini ditambah pula pembukaan sesi persekolahan yang rapat dengan Ramadan terasa juga. Dulu suami ada, adalah pendapatan. Pencen arwah ada bolehlah buat tampung persekolahan anak-anak. Sekarang ini, saya ikhtiar membuat kuih-muih untuk jualan, Alhamdulillah, hendak bermewah itu tidak dapatlah tetapi ada," ujarnya.


Tag: