• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Sidang DUN : Bantuan Pinjaman Segera Peniaga Bazar Ramadan


KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan negeri menyediakan bantuan segera berjumlah RM350,000 dalam bentuk pinjaman jangka pendek kepada peniaga bazar Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pinjaman segera sehingga RM3,000 seorang diputuskan bagi meringankan beban peniaga yang memerlukan modal bagi memulakan perniagaan sempena Ramadan tidak lama lagi.

Jelasnya, sehingga hari ini, seramai 406 peniaga membuat permohonan dan bantuan tersebut dijangka diagihkan seminggu sebelum umat Islam mula berpuasa.

"Pinjaman yang julung kali diperkenalkan itu hanya akan diberikan kepada peniaga yang memerlukan dan berdaftar di bawah Persatuan Penjaja Kecil Negeri Terengganu.

"Kita beri kepada mereka dan kemudian mereka perlu bayar balik pinjaman itu dalam tempoh sebulan, sebaik sahaja habis Ramadan hingga akhir Syawal. Kita percaya peminjam telus dan akan membuat bayaran," ujarnya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke 14, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Nurkhuzaini lagi, pemohon yang berminat mestilah mendapat tapak bazar Ramadan yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.


Tag: