• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Sidang DUN : Dana Raya Bukan Penyelesaian Masalah


KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM15,817,000 untuk Dana Raya 2019 yang melibatkan 79,085 orang penerima yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, kaedah yang diguna pakai pada tahun ini sama seperti tahun sebelumnya cuma yang berbeza dari segi syarat pendapatan ketua isi rumah (KIR).

“Sebelum ini dana raya diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan pendapatan KIR yang tidak melebihi RM2,500 sebulan. Bagaimanapun, tahun ni kita mengguna pakai garis panduan selaras yang dikeluarkan Kerajaan Pusat iaitu KIR yang tidak melebihi RM1,500 sebulan.

“Bagi KIR yang kurang RM1,500 sebulan di bandar atau di luar bandar, mereka boleh mendaftar dengan e-kasih dan kita ada kumpulan fokus di setiap daerah yang akan merancang untuk menyelesaikan masalah-masalah kemiskinan yang berbangkit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Bazlan Abd Rahman (BN-Batu Rakit) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, dana raya bukan penyelesaian masalah untuk membasmi kemiskinan sebaliknya pemberian kerajaan kepada rakyat negeri ini sempena Aidilfitri.

“Dana raya ini bukan penyelesaian masalah, ianya sebagai tanda keprihatinan kerajaan sempena menghadapi hari raya.

“Kalau mereka daripada golongan miskin, mereka boleh mendaftar e-kasih atau Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kita beri bantuan tetap secara bulanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Satiful turut merakamkan ucapan terima kasih terhadap kerajaan terdahulu yang berjaya mengurangkan kadar kemiskinan yang banyak di Terengganu.

“Miskin tegar hanya 35 orang sahaja dan kita beri bantuan ini sebanyak RM79,000 setahun. Jadi, saya rasa benda ini boleh dikurangkan tahun demi tahun. Sebagaimana hasrat kerajaan negeri iaitu kita tidak mahu memberi ikan lagi, kita cuma bagi kail untuk mereka mencari pendapatan,” ujarnya.

Tag: