• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida

KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri digesa supaya memperkasakan etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, satu program  perlu dirangka selari dengan peruntukkan RM 3.75 juta untuk Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) dan Modul Itqan Itsani, iaitu dengan pemerkasaan etika pakaian patuh syariah.

Menurut Zuraida lagi, hal itu penting kerana tuntutan menutup aurat dengan sempurna sama ada kepada kaum lelaki atau wanita merupakan kewajipan bagi setiap muslim seperti yang disebut dengan jelas dalam surah An Nur ayat 31 dan surah Al Ahzab ayat 59. 

“Lebih manis lagi sekiranya lambang ataupun syiar Islam ini bermula dengan  kakitangan Wisma Darul Iman yang menjadi pusat pentadbiran utama kerajaan negeri Terengganu.

“Termasuklah sektor perhotelan, pelancongan, perniagaan dan sukan dengan menambah baik peraturan berpakaian yang selari dengan syariat.

“Hal ini penting untuk mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu. Selari dengan usaha ini, pengaruh budaya luar yang negatif kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dapat dibendung,” ujarnya.

Zuraida berkata demikian semasa membahas Belanjawan 2021 Negeri Terengganu di Dewan Undangan Negeri Terengganu, pagi tadi.

Beliau juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk mengislahkan Terengganu dengan lebih serius dengan pemerintahan negeri maju, berkat dan sejahtera.

“Dalam Belanjawan 2021, Teras yang pertama adalah untuk meneguhkan pelaksanaan agenda Islam. Jelas bahawa kerajaan terus komited dalam menjadikan Terengganu sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian negeri lain sebagai model terbaik dalam menerajui sebuah kerajaan.

“Justeru, saya memohon supaya diadakan satu kempen menyeluruh dan berterusan berkaitan pemakaian yang patuh syariah dalam kalangan kakitangan awam dan swasta di seluruh negeri Terengganu,” tambahnya.