• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Sidang DUN : Kerajaan Persekutuan Hutang Terengganu RM1.43 Bilion Untuk LPT2

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto oleh - Media MB
KUALA TERENGGANU, 3 April -  Kerajaan Persekutuan telah berhutang dengan kerajaan negeri membabitkan kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak RM1.85 bilion.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  jumlah yang telah diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk lebuhraya itu adalah sebanyak RM418.5 juta.

"Manakala baki yang belum diterima bagi pembinaan LPT2 ialah sebanyak RM1.43 bilion," jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di sini hari ini. 

Hilmi ingin tahu jumlah sebenar hutang untuk kos pembinaan LPT2 dan jumlah yang telah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri setakat Mac lalu. 

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, sehingga Mac lalu, Kerajaan Persekutuan telah membayar hutang tersebut berjumlah RM418.5 juta melalui tiga pembayaran. 

Ini termasuk pembayaran projek Naik Taraf Jalan Marang ke Awana Kijal berjumlah RM118.5 juta, bayaran pendahuluan yang tidak dibayar balik (RM200 juta) dan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) (RM100 juta).

Tag: