• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sidang DUN : Kos Baik Pulih Stadium Sultan Mizan Sama Nilai Bina Stadium Baru


KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri terpaksa menangguhkan pelaksanaan fasa utama membaik pulih Stadium Sultan Mizan, Gong Badak terutama melibatkan kerosakan bumbung utamanya yang runtuh berikutan kos yang terlampau tinggi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abd Karim berkata, kerja membaik pulih stadium pelbagai guna yang boleh menampung 50,000 penonton itu terpaksa dikaji semula berikutan kos yang  terpaksa ditanggung amat besar, iaitu hampir RM100 juta dan peruntukan berkenaan bersamaan dengan pembinaan satu stadium baharu.

"Berdasarkan siasatan yang kita buat dengan dua kes istimewa ini termasuk isu bas amfibia, sememangnya kita terkejut dengan penemuan hasilnya.

“Bila dengar tentang anggaran kos dari Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memaklumkan bahawa dengan kos baik pulih RM100 juta yang mana boleh membina sebuah stadium baru, jadi kita telah mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri supaya JKR memperhalusi semua sekali kos baik pulih dan selepas itu buat perbandingan dengan membina sebuah stadium baharu,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Meyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.


Jelasnya, selepas mendapat laporan daripada JKR, pihak kerajaan negeri akan membuat keputusan terbaik mengenai stadium tersebut, namun dalam masa yang sama ia masih boleh digunakan setelah baik pulih padang bola siap pada September.

‘’Namun begitu, fasiliti lain seperti tempat bermain squash, boling dan bilik VIP belum dibaik pulih kerana ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaiki.

“Jadi kita ambil keputusan untuk hentikan baik pulih semua sekali termasuk bumbung RM30 juta dengan menamatkan kontraktor yang terlibat. Sehingga hari ini, ia masih dibekukan sementara menunggu hasrat seterusnya dari pihak kerajaan,’’ katanya lagi.

Untuk rekod, stadium terbesar di Pantai Timur yang dirancang sebagai mercu tanda pembangunan sukan itu dibina dengan kos dikatakan mencecah hampir RM300 juta dan dirasmikan pada Mei 2008.

Ia menjadi lokasi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah bangkit sebagai kuasa baharu sukan negara sehingga kini mela­lui hasil program pemba­ngunan atletnya.

Stadium yang pertama di Asia menggunakan rekaan bumbung tanpa sokongan tiang itu menyembah bumi pada 2 Jun 2009, selepas tidak sampai setahun digunakan.

Tag: