• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Sidang DUN : Kos Pembangunan Tenaga Ke Lembah Silika RM311.3 Juta

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kos pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok Marang diumumkan berjumlah RM311.3 juta.

Ini termasuk, pengambilan balik tanah (30 meter x 32 kilometer) dengan nilai RM51.3 juta dan kos projek (termasuk kos tanah sehingga 2019) sebanyak RM260 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  PETRONAS dengan kerjasama Terengganu Inc Sdn. Bhd. dalam peringkat penyediaan dokumen untuk dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga  bagi membangunkan pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok, Marang.

Dr Ahmad Samsuri berkata, antara dokumen penting yang diperlukan adalah surat niat (LOI)  daripada pihak pelabur yang akan membuka kilang dan beroperasi di lembah tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Batu Buruk,  Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.

Muhammad Khalil dalam soalannya bertanyakan tentang hasil kajian dan penilaian teknikal yang telah diperoleh kerajaan berkenaan pembangunan tenaga ke TSV.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata,  antara maklumat teknikal yang diperoleh termasuk jarak laluan paip gas dari Paka,  Dungun iaitu sejauh 32 km.

Sementara keperluan tenaga (elektrik) pula katanya,  berjumlah sebanyak 150 Mega Watt,  keperluan gas (kilang) sebanyak 60 juta kaki padu standard setiap hari (million standard cubic feet per day) serta diameter paip gas sepanjang 36" x 28 km dan 10" x 4 km.

Tag: