• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Sidang DUN : Manfaatkan Potensi Pelancongan Pesisir Sungai


KUALA TERENGGANU, 3 April - Pesisir pantai dan sungai perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana ia bukan sahaja dikunjungi pelancong bahkan boleh menjana pendapatan kepada penduduk dan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, tempat seperti ini sudah pasti memerlukan penginapan, tempat makan minum dan hasil kraftangan yang boleh disatukan.

"Ada beberapa tempat yang memang sudah cantik dan kalau kita tambah baik, maka ia akan jadi tempat yang boleh  menggamit  para pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara.

"Saya mengharapkan pihak kerajaan memandang serius tempat seperti ini dan di antaranya mungkin yang boleh kita tambah nilai seperti mana Taman Tamadun Islam. Kalau di sini dibina taman permainan dan kolam, lagi meriah tempat itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Mesyuarat Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke -14, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan hendaklah mengambil perhatian agar rakyat boleh berniaga dan negeri mendapat pendapatan serta industri warisan tidak akan pupus.

"Negeri kita perlu dijenamakan sebagai destinasi ekopelancongan kerana Terengganu memang terkenal dengan tempat  yang cantik.

"Adalah malang jika kita tidak dapat memaksimakan atau menggunakan kelebihan yang ada di negeri kita ini," ujarnya.




Tag: