• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara

KUALA TERENGGANU, 23 November - Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bertekad untuk menjadi peneraju utama bagi memudahcara antara agensi berkaitan dengan para usahawan dalam usaha membangunkan usahawan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak ditubuhkan 23 April 2014, sebanyak 39 agensi keusahawanan pusat dan negeri telah menganggotai PEUTER.

“PEUTER dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu berperanan untuk menyelaras dan mengumpul maklumat berkait aktiviti keusahawan yang dilaksanakan khusus di negeri ini terutamanya membabitkan pembiayaan, geran perniagaan, latihan dan promosi,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai objektif penubuhan PEUTER dan pencapaian sejak ianya ditubuhkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, antara pencapaian PEUTER bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,304 usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menikmati pembiayaan berjumlah RM130,783,494 yang diperuntukkan oleh agensi berkaitan di bawah PEUTER. 

“Manakala, 713 PKS memperoleh geran berjumlah RM3,326,151 sementara untuk latihan pula sebanyak 123 program melibatkan 4,363 usahawan dan promosi 43 program dengan 6,697 usahawan,” ujarnya.

Sementara itu katanya, dalam usaha membantu usahawan PKS yang terjejas ekoran COVID-19, Bantuan Pembiayaan COVID-19 berjumlah RM4.3 juta dikeluarkan kepada 327 usahawan.

“YPU juga turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh April hingga Mei 2020,” ujarnya.