• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM57 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai serta pembaikian struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan.

“Projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022 di mana kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang (Marang) dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mamad Puteh.

Sementara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rhu Rendang sebagai penyelesaian jangkamasa sederhana yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan.

“Cadangan projek yang melibatkan kerja- kerja penyuburan pantai sepanjang 2.5 kilometer ini sedang di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh JPS.

Bagi Pantai Kuala Nerus pula, beliau berkata JPS Negeri Terengganu sedang melaksanakan projek kawalan hakisan pantai di kawasan Kampung Telipot, Kuala Nerus.

“Projek yang menelan biaya sebanyak RM 6.147 juta ini melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 500 meter dan dijangka siap pada Ogos 2021,” ujarnya.