• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN : Salur RM55.7 Juta Kepada JKM Untuk Kebajikan Rakyat Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isterinya.
KUALA TERENGGANU,  5 April - Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM55.7 juta kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tujuan bantuan kepada rakyat Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  daripada jumlah besar itu,  sejumlah RM51.56 juta telah diperuntukkan untuk bantuan am dan telah pun diagih-agihkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah-daerah (PKMD).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di sini semalam.

Alias Harun ingin tahu jumlah bantuan dan usaha kerajaan negeri dalam menangani keluarga B40 yang hilang punca pendapatan akibat Ketua Isi Rumah (KIR) meninggal dunia. 

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata,  kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan kepada penerima-penerima yang layak termasuk bantuan membaiki rumah kepada mereka yang rumahnya dhaif,  bantuan bencana alam (pemulihan keluarga)  dan bantuan cermin mata. 

"Usaha-usaha kerajaan negeri melalui JKM tidak terhad kepada penyaluran bantuan kewangan sahaja," jelasnya.

Malah katanya,  perkhidmatan sokongan emosi kepada keluarga yang menghadapi musibah dan kesusahan  juga diberi dengan memberi perkhidmatan kaunseling dan bimbingan bagi memastikan hak atau keperluan anak-anak diberi penjagaan dan perlindungan kepada orang yang layak dan sesuai. 

"Contohnya penempatan anak-anak yatim di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi dan Asrama PERKAYA atau penempatan di tempat selamat seperti di Rumah Kanak-kanak, " jelasnya. 

Di samping itu katanya,  bantuan-bantuan lain yang sesuai di bawah Kerajaan Pusat turut disalurkan kepada penerima-penerima yang layak seperti Tabung Bantuan Segera (TBS) iaitu bantuan segera sebanyak RM300 sekali gus,  Bantuan Kanak-kanak (RM100 seorang kanak-kanak dengan maksima sebanyak RM450 sekeluarga), Bantuan Anak Pelihara (RM250 seorang kanak-kanak dengan maksima sebanyak RM500 sekeluarga). 

"Syarat kelayakan penerima bantuan negeri di bawah JKM Terengganu termasuk warganegara Malaysia dan bermastautin di Terengganu,  pendapatan di bawah RM960 sebulan dan keluarga yang berkeperluan dan tidak berkemampuan, " ujarnya.

Tag: