• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Sidang DUN Terengganu : Pindaan Saraan ADUN Yang Dilantik Lulus RM10 Ribu

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Saraan) (Pindaan) 2019 bagi membolehkan ADUN yang dilantik mendapat elaun saraan sebanyak RM10,000 sebulan.

Jumlah itu diluluskan sebulat suara di peringkat jawatankuasa, hasil cadangan dari ADUN Kijal, Dato' Seri Ahmad Said ketika pindaan enakmen tersebut dibaca kali kedua dengan meminda Fasa 3 (b) dari jumlah RM7,000 kepada RM10,000.

Rang Enakmen pindaan itu dikemukakan oleh ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14, di sini hari ini.

ADUN Kijal ketika bangun mencadangkan pindaan itu berkata, jumlah RM7,000 itu amat sedikit dan meminta Penasihat Undang-undang Negeri memberi nasihat dalam perkara tersebut.

"Wang saraan berbelas ribu bagi wakil rakyat biasa, sama-sama Yang Berhormat juga sama ada yang dilantik ataupun tidak. Tugas mereka sama sahaja," jelas beliau.

ADUN Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat ketika bangun menjelaskan bahawa pindaan itu boleh dibuat ketika mesyuarat menjadi jawatankuasa.

Ketika dibaca Fasa 3 (b) di peringkat tersebut, pindaan dibuat dari RM7,000 kepada RM10,000 dan mendapat persetujuan sebulat suara dari ADUN Terengganu.

Pada 29 November tahun lalu, Pengarah Ameerah Terengganu, Zuraida Md Noor dilantik sebagai ADUN wanita pertama negeri Terengganu. 

Tag: