• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Sidang DUN : Wujudkan Jawatan Khas Pemandu Wanita


KUALA TERENGGANU, 3 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mencadangkan kerajaan negeri agar membuka peluang pekerjaan kepada wanita, termasuk jawatan sebagai pemandu.

Katanya, ia bagi menjamin keselesaan  agar lebih memelihara keadaan dan meraikan fitrah wanita, sebagai pekerja, ibu dan juga muslimah.

“Kadangkala pegawai wanita terpaksa melakukan perjalanan jauh demi  tugasan seperti mesyuarat, program rasmi dan sebagainya. Ini agak kurang selesa jika pemandu adalah daripada kaum lelaki,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Mesyuarat Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.


Malah menurut beliau lagi, kewujudan posisi ADUN Wanita menunjukkan kerajaan di bawah Menteri Besar Terengganu sedar tentang kepentingan dan peranan kaum hawa dalam kepimpinan sehingga mengangkat martabat wanita untuk sama-sama menyumbang idea ke arahTerengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Kehadiran ADUN wanita  di sini bukan sahaja membangkitkan isu-isu berkait wanita semata-mata tetapi akan turut mengetengahkan apa jua isu yang relevan. Wanita hari ini bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran, pekerjaan, kepimpinan dan sebagainya,” ujarnya.

Kata Zuraida, beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menyegerakan kerja menaik taraf dewan dan pusat rekreasi khas mesra wanita yang telah dibentangkan dalam Bajet 2019 berikutan ia mendapat reaksi yang sangat positif daripada masyarakat.

Tambahnya, beliau juga mencadangkan supaya wanita diberi kuota khas dalam pelbagai program kerajaan negeri memandangkan golongan itu wajar dibela dan harus mendapat tempat sewajarnya, termasuk kalangan beliawanis, orang kurang upaya, gadis remaja dan juga kanak-kanak.

“Harapan kami juga agar bajet ini tidaklah sekadar cantik ditekap di atas kertas dan manis hanya di bibir tanpa prasarana yang cekap di peringkat jabatan dan agensi kerajaan.

“Dan yang paling penting rakyat seluruhnya  perlu bersama-sama berganding bahu dalam menterjemahkan hasrat ini dengan penuh iltizam,” katanya.


Tag: