• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - "Sila berhenti jika lesen mati," itu nasihat Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin kepada pengguna jalan raya jika mendapati lesen memandu mereka telah tamat tempoh ketika sedang memandu.

Tambahnya, hanya dalam tempoh kurang lima minit mereka sebenarya boleh memperbaharui lesen memandu mereka sebelum kembali meneruskan perjalanan melalui aplikasi MyJPJ yang diperkenalkan kerajaan.

"Ini pengalaman saya sendiri. Sebagai manusia, kami juga ada sifat lupa. Oleh itu, inisiatif ditawarkan aplikasi MyJPJ sangat membantu sebenarnya.

"Saya pernah memandu di lebuhraya dan ketika itu baru teringat lesen memandu saya sudah tamat tempoh.

"Jadi, saya berhenti seketika di bahu jalan, kemudian saya memperbaharui lesen menggunakan MyJPJ di telefon saya dan ia selesai dalam tempoh kurang tiga minit sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pemberita selepas majlis kunjungan hormat Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di ibu pejabat JPJ, di sini hari ini.

Jelasnya, JPJ telah memperkenalkan sistem pembaharuan lesen memandu menggunakan slip bagi menggantikan lesen fizikal.

Walaubagaimanapun, proses itu diaplikasikan secara interim sehingga hujung tahun 2024.

Menurut Zulkarnain, Tahun 2025 adalah tahun di mana JPJ cuba merealisasikan sistem digital secara keseluruhan melibatkan pempameran lesen memandu dan LKM.

"Setakat ini, seramai tujuh juta pengguna telah memuat turun aplikasi MyJPJ.

"Kita harap orang ramai belajar menggunakan sistem ini kerana pada masa depan kita kena menerima teknologi yang berlangsung.

"Saya juga nampak ia memudahkan kerana tidak lagi perlu ke kaunter untuk memperbaharui lesen memandu," katanya.

Dalam pada itu, beliau cuba menjernihkan kegusaran orang ramai berkaitan isu mempamerkan lesen memandu dan LKm secara fizikal.

"Orang mungkin risau disaman jika gagal mempamerkan lesen dan LKM ketika berdepan sekatan jalan raya.

"Jangan bimbang kerana pegawai kami mampu untuk menyemaknya," katanya.


Tag: