• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sistem Pendidikan Barat Jadikan Sempadan

Dr Ahmad Samsuri (tengah) menyerahkan replika check sumbangan orang ramai kepada Dato' Husain Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Madrasah Moden Terengganu Besut (MMTB) di Dewan Kota Putera malam ini.


BESUT,  13 April -Sistem pendidikan Barat perlu dijadikan sempadan kerana ia melahirkan modal insan yang rosak termasuk menjadi punca perkahwinan sejenis golongan LGBT sekaligus melanggar fitrah manusia. 

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan sistem pendidikan Islam pelajar berjaya menghadapi cabaran semasa dengan jayanya termasuk tidak melibatkan  diri dengan golongan amalan seks songsang itu dan begitu sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal Madrasah Moden Terengganu Besut di Dewan Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato' Husain Awang dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Terengganu.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, memberi contoh kegagalan sistem pendidikan Barat telah melahirkan golongan LGBT seperti satu peristiwa seorang lelaki Melayu berkahwin sesama jenis dengan lelaki Inggeris di Dublin, Ireland yang pernah heboh disiarkan di media perdana satu ketika dahulu.

Dr Ahmad Samsuri
Ikuti cerita beliau berkenaan peristiwa tersebut seperti berikut:-

Satu ketika dalam akhbar perdana beberapa tahun lalu disiarkan kisah seorang lelaki Melayu berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris.

Lelaki Melayu itu berpakaian lengkap bersampin dan berbaju Melayu. Kebetulan beberapa lama selepas itu saya pergi ke Dublin, ada program yang perlu saya ikuti dan saya bertemu dengan rakan-rakan yang lain di sana dan berhasrat mengesahkan berita tersebut sama ada betul atau tidak berlaku di Dublin.

Mereka mengakui memang betul peristiwa tersebut berlaku di ibu kota berkenaan. Apa yang berlaku ialah dua insan sejenis itu berkahwin, lelaki sesama lelaki. Orang Melayu menjadi isteri manakala orang Inggeris itu menjadi suami.

Ibu bapa si Melayu yang berasal dari sebuah kampung di Malaysia yang hidup miskin, mereka kutip duit cari tiket kapal terbang pergi ke Dublin untuk berjumpa dengan anak mereka, untuk memujuknya supaya kembali ke pangkal jalan.

Dipendekkan cerita sepasang suami isteri itu, pergi ke rumah anaknya di Dublin. Sampai depan rumah anaknya itu mereka ketuk pintu keluar seorang lelaki iaitu si suami kepada anak mereka.

Lelaki itu bertanya, "kamu berdua nak apa?" Mereka berkata, "kami mahu bertemu dengan anak kami."

Si suami kepada anak lelaki mereka menjawab, "ini rumah saya, sila keluar daripada sini."

Suami anak mereka itu memanggil polis lalu polis pun datang dan menghalau mereka berdua kerana dilaporkan bahawa mereka mengganggu tuan rumah tersebut.

Kedua ibu bapa lelaki Melayu tersebut menangis lalu pergi dari situ tanpa dapat berbuat apa-apa sekaligus hasrat memujuk anak mereka kembali ke pangkal jalan, gagal.

Kita mungkin memandang mudah tentang peristiwa yang berlaku di sekitar kita kerana tidak berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita di daerah Besut atau di negeri Terengganu.

Inilah hasil pendidikan Barat yang akhirnya membawa natijah buruk kepada pelajar sebagaimana berlaku kepada lelaki Melayu berkenaan.

Mereka tidak disediakan kelengkapan pendidikan secara Islam, maka cabaran yang ada di hadapan mereka mungkin mereka boleh hadapinya dengan baik ataupun sebaliknya mungkin mereka akan tewas dengan cabaran tersebut.

Sebab itulah kita bersungguh-sungguh, memastikan bahawa agenda yang boleh merosakkan pemikiran umat Islam ini harus dilawan habis-habisan.

Penubuhan Madrasah Moden dan segala institusi pendidikan agama berteraskan agama ini akan menjadi asas bagi membina ketahanan diri anak-anak kita hari ini dan di masa akan datang.

Tag: