• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SKMM Mahu Tambah Menara Telekomunikasi Di Tasik Kenyir


Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berusaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan telekomunikasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi memastikan liputan talian telefon di zon pelancongan itu lebih meluas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata, beberapa lokasi yang dikenal pasti sebelum ini sudah dipasang menara telekomunikasi termasuk di kawasan Pos Kawalan Santuari Kelah, Sungai Petang dan Air Terjun Lasir.

Katanya, SKMM turut bercadang memasang kemudahan sama di lokasi lain namun bergantung pada keperluan berikutan ada di kalangan pelancong tidak mahu sebarang ‘gangguan’ ketika bercuti.

“Pada masa sama, kita juga perlu untuk memikirkan berkaitan peruntukan yang tentunya libat kos yang tinggi, apatah lagi perlu mengangkut barang bina ke kawasan tasik.

“Kaedah terbaik akan dilaksanakan dengan mengambil kira banyak faktor, sekali gus memastikan bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir terus meningkat yang secara tidak langsung merancakkan lagi sosioekonomi setempat,"katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada Teganukita sempena Lawatan Kerja Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, kelmarin.

Turut serta, Pengarah Ukom, Dato' Muda Mamat.



Tag: