• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

SMK Bukit Sawa Jadi Sekolah Pertama Perkenal Pendidikan Aeroangkasa

KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa terpilih sebagai sekolah pertama dalam negara yang memperkenalkan program pendidikan aeroangkasa di peringkat sekolah.

Guru Penasihat Kelab Aeronatik Bukit Sawa (Bsas Aeronautik), Badrul Hisyam Zakaria berkata, program pendidikan aeroangkasa itu akan dijalankan selama empat tahun (2023-2026) menyasarkan pelajar tingkatan 1 dalam menerap minat mereka dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) .

Katanya, program tersebut telah dirangka bersama 'Malaysia Institute Of Aviation Technology (UniKL Miat) bagi memberikan pendedahan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan industri Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) .

"Pelajar yang dipilih untuk menyertai program ini akan mempelajari teori berkaitan 'safety and regulation', reka bentuk UAV, sebelum mereka membina sendiri daripada formula dan 'design' yang telah dibuat.

"Selepas hasil ciptaan itu berfungsi sepenuhnya, mereka akan menyertai beberapa pertandingan yang merupakan antara pendedahan yang akan diberikan kepada para pelajar yang terlibat selian mereka juga akan dibawa untuk terlibat dalam operasi sebenar industri UAV ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir Program 'Kick-Off TI-Bsas Aeronautics UAV in School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Badrul Hisyam berkata, seramai tujuh orang pelajar terpilih sebagai kumpulan pertama menyertai program berkenaan.

"Pelajar yang terlibat akan memiliki peluang bagi menyambung pengajian mereka dalam bidang ini sebaik sahaja mereka menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah,"katanya.

Terdahulu syarikat pelaburan induk strategik Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menyumbang sebanyak RM45,000 bagi merintis program UAV yang pertama dalam negara.

Menurut Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun bantuan sokongan kewangan secara 'one-off' itu diberikan bagi memastikan hasrat bagi mengembangkan kemahiran dalam revolusi industri 4.0 itu tercapai.