• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Solat Jumaat Di Kawasan PKPD Besut Diganti Solat Zohor

KUALA TERENGGANU, 24 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan solat Jumaat di kawasan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Besut diganti dengan solat Zuhur bagi mencegah penularan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Osman Muda berkata, baginda amat mengambil berat dan menzahirkan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian COVID-19 di daerah Besut.

Katanya, keputusan tersebut selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim dalam Daerah Besut bermula 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

“Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bersetuju selepas mengambil kira pandangan Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, perlaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau di 15 mukim dalam daerah Besut yang dikenakan PKPD dengan tidak membenarkan aktiviti solat Jumaat di masjid untuk tempoh tersebut dan digantikan dengan solat Zohor.

“Sementara solat berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum seramai lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

“Ahli qaryah hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor dan menunaikan solat- solat fardhu yang lain di rumah masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Osman berkata, laungan azan di masjid dan surau adalah dibenarkan sebagai memakluman kepada ahli qaryah berkaitan masuk waktu solat tetapi  aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan.

Menurutnya lagi, solat jenazah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan.

“Pengurusan dan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi dua puluh orang sahaja.

“Pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan pula dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi dua puluh orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja,” jelasnya.

Katanya, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

“Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan dan garis panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dari masa ke semasa,” ujarnya.

Osman berkata, Sultan Mizan menyeru rakyat jelata khususnya di kawasan yang terlibat dengan PKPD mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan sama-sama memainkan peranan bersama barisan hadapan dalam menangani wabak ini dari terus merebak dan seterusnya ianya dapat dikawal sepenuhnya.