• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Solat' Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga

KUALA NERUS, 1 Mac - Ibadat solat merupakan kunci serta rahsia kebahagian dalam sesebuah rumahtangga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata oleh kerana itu kerajaan berusaha mengadakan kempen Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) agar timbul kesedaran dalam masyarakat untuk menjalankan kewajipan tersebut.

"Terbentuknya sebuah masyarakat yang hebat bermula daripada rumah, dengan suami menyuruh atau mendidik isteri dan anak-anaknya menjaga solat kerana daripada situ akan terbentuknya sebuah masyarakat yang baik.

"Kempen yang digerakkan ini berhasrat untuk membangunkan modal insan serta mendidik mereka agar mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan hadir pada majlis ilmu kerana ia menjadi aspek kemajuan kepada negeri ini.

"Kemunduran sesebuah negara atau negeri bukannya diukur melalui tertegaknya bangunan tinggi tetapi apabila masyarakatnya jauh daripada masjid," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tajung Sabtu, di sini, pada hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hasim dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata majlis yang dimulakan dengan Solat Tahajud dan Solat Hajat secara berjemaah adalah bagi mendidik seluruh rakyat di negeri ini agar memperbanyakkan ibadat sunat pada waktu malam kerana mengandungi hikmahnya cukup besar.

"Inilah yang dididik oleh Rasulullah kepada para sahabatnya sehingga menjadi generasi yang terhebat dalam sejarah kegemilangan Islam dan juga disampaikan oleh baginda melalui khutbahnya kepada sahabat apabila sampai ke Madinah dalam peristiwa hijrah.

"Dengan bangun solat pada waktu malam, di waktu ramai yang sedang tidur lena mampu melahirkan kembali masyarakat Islam yang hebat sebagaimana ketika era keemasan pemerintahan Islam.

"Ia juga menjadi perantara seorang hamba kepada Allah untuk mengadu dan merintih bertaubat dan meminta agar wabak Covid-19 ini segera diangkat," ujarnya.

 


Tag: