• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sekurang-kurang kelulusan untuk meneruskan kehidupan bagi rakyat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa SPM adalah tiket penting kalau mahu bekerja.

Katanya, majikan mahu yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya SPM, apatah lagi jika mahu menyambung pelajaran.

"Oleh hal yang demikian, SPM adalah sekurang-kurang kelulusan yang bagi saya wajib ada untuk seorang rakyat Malaysia," katanya.

Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Jalan Sultan Omar, baru-baru ini.

Bergambar bersama-sama para peserta Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang.

Ujar Zuraida lagi, beliau agak risau dengan keadaan mutakhir ini, apabila generasi muda seakan tidak berminat mahu belajar ditambah pula dengan pengaruh buruk yang dibawa oleh sesetengah pempengaruh media sosial.

“Saya doakan mudah-mudahan semua para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM nanti, dipermudah segala urusan dan semoga peroleh keputusan yang cemerlang,

“Antara tujuan utama penganjuran Program Tuisyen Rakyat ialah sebagai pecutan terakhir kepada para pelajar menjelang peperiksaan sebenar tak lama lagi,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri berkata bahawa Program Tuisyen Rakyat ini diadakan di kesemua 32 DUN dalam Negeri Terengganu.

Sebahagian daripada peserta Tuisyen Rakyat DUN Ladang.

Program tersebut telah berjaya mengumpulkan peserta lebih 50 orang peserta dari pelbagai sekolah, bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.30 petang dan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ladang.