• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Stesen Bas Kerteh Selesai Dirasmikan

KEMAMAN, 14 Februari – Setelah sekian lama perancangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk mengadakan majlis perasmian, akhirnya Stesen Bas di Bandar Kertih berjaya dirasmikan sepenuhnya setelah memberi manfaat pengangkutan buat rakyat rakyat Kemaman sejak 2019.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, berikutan penularan COVID-19, perancangan perasmian sering tertangguh walaupun ia telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

"Sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukan di bawah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu akhirnya terbina Stesen Bas di Bandar Kerteh.

“Menjadi satu keutamaan pemimpin menyediakan keselesaan untuk rakyat dan Infrastruktur yang lengkap bagi kemudahan kita bersama.

"Sebelum pembinaan Stesen Bas ini, orang ramai terutama pelajar-pelajar yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama hanya menggunakan kaki lima jalan-jalan utama untuk menunggu dan turun di lokasi yang dituju," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Stesen BAS Kerteh, baru-baru ini.

Beliau mengharap agar masyarakat sama-sama menjaga prasarana pengangkutan itu dengan baik dan bukannya tempat melepaskan geram di dinding-dinding bangunan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Jusman Ibrahim menjelaskan, fasiliti tersebut mempunyai kemudahan tiga kaunter tiket, satu kedai makan, satu tandas dan satu surau sudah cukup bagi pengguna yang menggunakan Stesen Bas ini.

"Kedudukan Stesen Bas berhampiran dengan Bandar Kerteh menjadikan ianya lokasi strategi untuk ekonomi setempat berikutan fasilitinya yang berhampiran dengan persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 Kerteh serta perancangan pembinaan Stesen East Coast Rail Link (ECRL) Kerteh dan Lapangan Terbang Kerteh," tambahnya.

Sebelum bermulanya majlis perasmian Stesen Bas tetamu terhormat menaiki Bas Sani Express dari perhentian Paka ke Stesen Bas Kerteh seawal 9 pagi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan serta Pemilik Sani Ekspress Sdn Bhd, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.