• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Stesen Janakuasa TNB Di Kenyir Kembali Beroperasi

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kenyir, kembali beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun lalu dengan memperkasa Grid Nasional setelah keempat-empat unit jana kuasa beroperasi semua tiga bulan lebih awal daripada perancangan asal bagi menyalurkan bekalan elektrik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir, Baharin Din berkata, stesen berkenaan sebelum ini terpaksa dihentikan tugas pada 27 Februari lalu berikutan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa berlaku di kawasan Hulu Terengganu itu.

Jelasnya, pemulihan SJSM berkenaan dapat mengukuhkan kembali penjanaan tenaga hijau TNB melalui tiga skim hidroelektrik membabitkan Hulu Terengganu, Cameron Highland di Pahang dan Sungai Perak.

"Harapan kita agar keempat-empat unit penjanaan SJSM dengan kapasiti keseluruhan 400 Mega Wat (MW) beroperasi dalam keadaan baik dan terus memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia dari segi tenaga hijau.

"Ia berikutan kenaikan luar biasa harga ekoran krisis bahan api dunia pasca pandemik dan diburukkan lagi oleh perbalahan Rusia-Ukraine," katanya dalam suatu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Kosmo Online, semalam.

Dalam pada itu katanya, pemulihan lebih awal itu penting bagi membolehkan stesen berkenaan dapat menurunkan paras air tasik menjadi lebih rendah sebagai persediaan untuk menerima air hujan lebih banyak pada musim monsun, November nanti.

Secara purata, SJSM mampu menyumbang 1,600 gigawatt-jam setahun apabila beroperasi dengan kapasiti penuh, sekali gus menghindari pelepasan 537,600 tan karbon dioksida jika mengggunakan sumber bahan api fosil (gas), bersamaan pelepasan karbon daripada 116,869 kenderaan setahun.


Tag: