• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

STPM: Terengganu Catat PNGK 3.04 Atasi PNGK Nasional

KUALA TERENGGANU, 13 Julai- Terengganu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 mengatasi PNGK nasional iaitu 2.82 dengan perbezaan 0.22 dalam Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kasman Embong berkata, 2,178 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,142 calon.

Menurutnya, pencapaian semua A (PNGK 4.00) dalam mata pelajaran yang diambil bagi 2022 ialah 112 calon berbanding 2021 iaitu 64 calon. Ia adalah peningkatan 2.18 peratus.

Katanya, prestasi PNGK sekolah di Terengganu juga menunjukkan peningkatan yang mana pada 2021 ia mencatatkan 3.03, dan 3.04 bagi 2022.

"Manakala bagi keputusan semua A bagi 2021, 64 calon memperoleh semua A dan pada 2022, ia meningkat kepada 112 calon. 

"Sebanyak 29 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas manakala pada tahun sebelumnya, 27 buah sekolah memperoleh keputusan yang sama," katanya ketika Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM 2022 Negeri Terengganu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Menurutnya, 38 daripada 46 sekolah di negeri ini mengatasi PNGK nasional (2.82) manakala 43 daripada 46 sekolah mendapat keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2022.

Katanya, bagi keputusan tahun ini, 1,203 iaitu 55.21 peratus calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 2021 iaitu 1,187 iaitu 56.60 peratus calon yang memperoleh keputusan sama.

Tambah beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan Penarek, Setiu mencatat PNGK terbaik iaitu 3.43 dan 100 peratus terbaik pencapaian semua prinsipal (5P/4P).