• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Suami Isteri Maut Kemalangan Dikebumikan Satu Liang

DUNGUN, 5 Februari - Pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam kemalangan maut di kilometer 274 dekat susur keluar Cheneh semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kerteh pagi tadi. 

Mangsa Arbain Baharudin, 47, dan Rosmayati Bakar@Lalar, 48, dikebumikan dihadiri keluarga dan warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang. 

Salah seorang guru SMAP Kajang, Hasnah Yusof berkata, pemergian pasangan guru terbabit amat meninggalkan kesan kerana SMAPK menjadi sekolah pertama dan terakhir mereka. 

“Dulu ketika mereka pertama kali ditempatkan di SMAP Kajang, kami guru senior yang padankan mereka berdua sehingga lebih 20 tahun berkahwin. 

“Cuma uniknya mereka, di sekolah seperti guru profesional yang lain kerana mereka sibuk dengan tugasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Kerteh. 

Mangsa, Arbain (kiri) dan Rosmayati

Kehilangan mereka dalam tragedi maut itu memberi kesan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah tersebut kerana Arbain merupakan satu-satunya guru subjek Fizik di sekolah terbabit. 

Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi mengatasinya sekali gus mengekalkan semangat para pelajar. 

Semalam, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian badan manakala tiga anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas.

MPV milik mangsa. foto: awam

 


Tag: